Sabtu, 17 April 2010

Giggs masih taruh harapan


Giggs
Giggs
MANCHESTER: Manchester United berkunjung ke Eastlands hari ini dalam aksi tetangga yang amat ditunggu-tunggu, dengan harapan menghidupkan kembali peluang meraih gelaran Liga Perdana Inggeris dan pada masa sama, meranapkan impian Manchester City untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

United kini tercicir empat mata di belakang Chelsea yang kukuh di puncak liga dengan berbaki empat perlawanan manakala City yang berada di tangga keempat, satu mata di atas Tottenham.

City tumpas 4-3 kepada United di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana sebelum ini dan Red Devils turut mengalahkan jiran mereka itu dalam saingan separuh akhir Piala Liga, awal tahun ini.

United berharap, penyerang England, Wayne Rooney pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya baru-baru ini bagi memastikan dia dapat diturunkan di Eastlands.

Dengan pemain United, Carlos Tevez semakin berselera menjaringkan gol dan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan atas alasan berbeza, saingan malam ini menyaksikan pertembungan paling menarik berbanding pertemuan lampau.

Dua minggu lalu, United kelihatan berada di landasan tepat untuk meraih gelaran berganda namun mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara oleh Bayern Munich, sebelum tewas kepada Chelsea dan seri dengan Blackburn dalam aksi domestik itu.

Begitupun, veteran Old Trafford, Ryan Giggs menegaskan masih banyak peluang untuk pasukan Alex Ferguson dalam aksi hujung minggu ini, selepas menjuarai Piala Liga musim ini.
“Kami hanya perlu terus beraksi,” kata pemain sayap Wales itu. “Kami menempuh tempoh buruk kira-kira 10 hari lalu. Keputusan yang diraih tidak seperti yang diharapkan dan tuah juga tidak memihak kami. Kami memerlukan kedua-dua perkara itu ketika ini.

“Kami perlu bangkit daripada kekecewaan dan yang pasti kami belum berputus asa. Kami akan terus berjuang sehingga ke penghujung,” katanya.
“Masih ada beberapa perlawanan dan diharapkan Chelsea akan tercicir mata dan kami boleh mencuri kesempatan itu.”

Wes Brown, Anderson dan Michael Owen masih di dalam senarai kecederaan manakala Owen Hargreaves tidak mungkin dapat beraksi musim ini meskipun sudah pulih daripada kecederaan lutut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan