Sabtu, 22 Mei 2010

inter milan guna empat penyerang

Mourinho pakar taktik, dia tak faham seni bola sepak: Robben

MADRID: Inter Milan dijangka menggunakan formasi sama – empat penyerang – seperti diamalkan ketika menewaskan Chelsea dan Barcelona sebagai bekalan perjuangan menjelang final Liga Juara-juara Eropah menentang Bayern Munich di San Bernabeu, awal pagi esok.
Jurulatih Inter, Jose Mourinho sudah menguji formasi 4-2-3-1 yang membabitkan Goran Pandev, Wesley Sneijder dan Samuel Eto'o di belakang serta Diego Milito di depan. Semua empat penyerang itu juga digunakan ketika mengatasi Chelsea dalam pusingan kalah mati serta kemenangan 3-1 ke atas Barcelona dalam perlawanan separuh akhir pertama.
Inter hadir di Madrid lewat Rabu dan berlatih di pusat latihan kelab Real Madrid.

Perkembangan itu sekadar mencetus satu persoalan kerana Mourinho dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Liga Sepanyol itu selepas tamat final nanti.

Mungkin dengan perpindahan ke ibu negara Sepanyol dalam fikiran serta sudah menyingkirkan musuh tradisi Real iaitu Barcelona dalam separuh akhir, Mourinho boleh mengharapkan sokongan padu penyokong tempatan nanti.

“Saya berharap penyokong Real akan menyorak untuk kami di Bernabeu nanti,” kata Mourinho.
Sementara itu, pemain sayap Belanda yang mewakili Bayern Munich, Arjen Robben berkata dia lebih seronok bermain bawah bimbingan Louis van Gaal berbanding bekas jurulatihnya, Mourinho ketika mewakili Chelsea dulu.

“Van Gaal adalah jurulatih yang mahu bermain cantik dan memenangi perlawanan dengan cara itu tetapi Mourinho adalah jurulatih yang pakar taktik tetapi tidak memikirkan sangat mengenai cara bermain bola sepak...atau lebih tepat tidak tahu mengenai seni dan gaya permainan cantik kerana dia hanya memfokuskan tumpuan untuk memenangi perlawanan.

“Sebagai pemain anda sudah tentu mahu seronok ketika bermain dan ia adalah sebahagian daripada sebab mengapa anda mahu bermain dan saya betul-betul seronok di Bayern musim ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan